11 TIPS MAINTAIN SUSU DI BULAN PUASA
Tips ini telah saya nukilkan tahun lepas di blog saya dulu. Ada beberapa pembaharuan cikgu nak kongsikan pada tahun ini. Harapan saya anda semua dah habis ganti puasa lah ya.
Memetik artikel Ramadhan dan Penyusuan Ibu dari laman web IKIM: “Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu. Sungguh hebat penciptaan Allah. Penyusuan susu ibu digalakkan di dalam Islam dan dalam masa yang sama disyariatkan berpuasa dalam bulan Ramadhan.”
Ianya normal jika kuantiti susu sedikit berkurang semasa bulan puasa kerana ibu tidak makan dan minum pada siang hari. Pernah dengar frasa susu ibu custom made? Susu ibu akan terus dihasilkan seperti biasa bila ada demand yang berterusan dan komposisi susu ibu yang dihasilkan mengikut apa yang anda makan dan minum.
Usah risau kekurangan susu sebab badan sendiri akan adjust komposisi susu, walaupun kuantiti sedikit berkurang dari biasa, nutrisi yang terdapat dalam susu ibu pasti masih cukup untuk keperluan bayi anda. Namun begitu anda masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan penghasilan susu masih optimum dan tidak berkurang secara mendadak.
Cikgu galakkan anda mengamalkan tips ini:
1 [MIND SET]
Apa yang kita fikir
Apa yang kita cakap
Apa yang kita rasa dan
Apa yang kita buat
Adalah hantaran doa kepada Allah
Allah mengikut sangkaan hamba-Nya.
Tips pada bulan puasa – sentiasa POSITIF bahawa susu ibu pasti ada dan CUKUP untuk si comel kita.
Doa seorang ibu adalah doa yang senang makbul. Selalu saya mengingatkan anda yang pernah hadir ke seminar saya, apa sahaja yang anda lintaskan di hati pasti jadi kenyataan jika Allah ingin memakbulkannya, tak perlu menanti duduk bertelekung di sejadah menadah tangan.
Bukankah apabila Allah berkata kun (jadilah) fayakun (maka jadilah)? Jika Allah izinkan ia berlaku, bila-bila masa sahaja apa yang anda hajatkan akan jadi kenyataan.
So, be careful with what you wish for, mommies!
Wish and pray for good things ya!
2 [KEKERAPAN MENGEPAM]
Tambahkan kekerapan mengepam (dan konsisten dengan jadual ini) sebulan sebelum bulan Ramadhan. Ini untuk mewujudkan demand yang tinggi terhadap susu ibu. Ironinya, jika kurang kekerapan maka kuranglah penghasilan susu.
Dengan menambah kekerapan menyusu/ memerah sebulan atau sekurang-kurangnya seminggu sebelum menjalani puasa, anda meningkatkan kadar hormon prolaktin dalam tubuh.
*Hormon prolaktin kerjanya menggalakkan kilang susu menghasilkan lebih banyak susu.
3 [JADUAL MENGEPAM]
Pastikan ibu mematuhi jadual mengepam setiap hari seperti biasa sepanjang bulan puasa untuk memastikan demand yang berterusan kepada breast.
Berikut adalah contoh jadual mengepam di bulan puasa (bagi ibu yang masih buntu atau belum ada jadual mengepam yang konsisten):
Sesi 1 – selepas sahur atau sebelum Subuh. Pada masa ini, hormon prolaktin tinggi, biasanya kuantiti susu lebih meriah berbanding waktu lain.
Sesi 2 – Pam pada waktu tengahari, jam 12.
Sesi 3 – Pada belah petang sebelum pulang ke rumah.
Sesi 4 – Sebelum tidur (agak-agak jam 11/12 malam)
*Jika ibu rasa terlalu letih untuk mengepam pada siang hari, tambahkan sesi mengepam pada waktu malam.
PERINGATAN: Banyak demand, banyaklah supply ya!
4 [TANDEM PUMPING]
Bagi membantu anda menjayakan penyusuan sepanjang bulan puasa, pada masa yang sama mendapatkan stok yang cukup untuk bayi sewaktu anda bekerja, saya galakkan anda mengamalkan tandem pumping bila sahaja anda bersama bayi anda. Ya, walaupun pada waktu malam.
Selain melengkapkan penyusuan dan bonding session bersama bayi anda (kerana inilah tujuan utama kita breastfeeding ya mommies), anda masih boleh mengumpul stok dengan cepat. Sambil menyelam minum air lah katanya.
*Tandem pumping tu sebelah menyusu, sebelah memerah ya mommies. Gunakan posisi football hold supaya bayi dan ibu selesa.
5 [POWERPUMPING SEMINGGU SEKALI]
Buat powerpumping sekali seminggu untuk create demand kepada breast ibu (untuk hantar signal kepada badan hasilkan susu yang lebih banyak). Waktu ideal adalah antara jam 12 malam hingga 6 pagi. Ibu pilihlah waktu yang paling lapang dan sesuai dengan ibu.
Pada waktu ini hormon prolaktin sangat tinggi, jadi kita nak take advantage pada kehadirannya yang ‘ramai’ tu, maka kilang susu lebih produktif!
# Habis powerpumping, boleh tunaikan Tahajjud atau Qiam pula kan*
6 [PENGAMBILAN AIR]
Kandungan utama susu ibu adalah air. Pastikan ibu minum air yang cukup dari tempoh selepas berbuka puasa sehingga ke waktu bersahur. Ibu digalakkan meminum AIR SUAM dan jika boleh elakkan ais ya! Air suam membantu percepatkan pengaliran bendalir dalam badan.
Listen to your body mommies. Periksa warna urin anda untuk menentukan anda cukup air atau tidak. Tanda cukup air, urin berwarna jernih dan tidak berbau. Jika urin berwarna keruh dan berbau, bermaksud anda tidak cukup air dalam badan. Hati-hati kerana ia boleh buat anda pitam dan pening kepala pada siang hari.
*Untuk elakkan dehydration pada bulan puasa, minum air suam sebelum & selepas menyusu/mengepam pada waktu malam. Seeloknya, minum 1 gelas air suam, setiap 1 jam. 1 gelas air = 250-350ml sahaja, dan mengikut saiz tubuh sendiri juga (bukan 1 liter air sekali minum ye).
7 [REFILL & RECOVER]
Anda telah kehilangan banyak tenaga dan air setiap kali selepas menyusu dan memerah. Jadi setiap kali selepas menyusu/memerah, anda digalakkan makan dan minum. Amalkan ini pada bermula waktu berbuka sehingga waktu sahur ya.
Makanan yang perlu diambil tidak semestinya 2 pinggan nasi lemak atau 3 mangkuk laksa (ini proses menambah lemak dalam badan ~hihihi~). Memadai dengan meminum susu/horlicks/ milo panas bersama roti, pun dah ok ya.
Breast akan cepat refill selepas makan dan minum kerana paras air dan tenaga yang hilang tadi sudah ditingkatkan semula.
8 [JUADAH BERBUKA / PEMAKANAN]
Bulan Ramadhan
Banyak Bazar
Makanan sedap sedap enak enak
Wah rambang mata
Nabi S.A.W mengajarkan kita, bulan Ramadhan adalah pesta ibadat, bukannya pesta makanan ya ibu-ibu.
Hati-hati dalam memilih juadah berbuka ya ibu. Elakkan makanan berminyak dan terlalu pedas. Seeloknya banyakkan makanan yang dimasak dengan cara panggang, rebus atau stim. Ini kerana badan kita akan mengesan makanan berminyak, pedas dan berempah sebagai makanan yang sukar dicernakan.
Selain mengambil masa yang lama untuk diproses, ia juga akan menggunakan banyak air dalam tubuh kita. Hat air yang kita nak reserve untuk buat susu tu dah diguna dulu untuk cerna makanan-makanan ni. Maka, ia menyebabkan kita kekurangan air
Elakkan mengamalkan diet keras seperti menghentikan pengambilan karbohidrat dan protein pada bulan puasa kerana ianya nutrisi penting untuk menghasilkan susu ibu.
Tambahkan dengan pengambilan buah-buahan pada waktu malam kerana buah-buahan tinggi kandungan fiber dan mempunyai kandungan jus atau airnya.
9 [KURMA]
Kurma adalah buahan syurga yang amat ajaib untuk ibu mengandung dan menyusukan. Banyakkan memakan kurma selepas berbuka puasa sehingga waktu sahur untuk tenaga berpanjangan.
Buat macam snack aje pun sedap. Breast cepat rasa penuh. InshaAllah. Berikut tips pengambilan kurma saya semasa bulan Ramadhan yang lepas:
1. 3 biji semasa berbuka puasa.
2. 3-5 biji semasa moreh – skip kueh mueh manis leting ya ibu-ibu.
3. 1-2 biji semasa bangun menyusu waktu malam – sebelum tidur sediakan 1 bekas berisi buah kurma dan 1 bekas berisi air suam.
4. 3 biji sebagai penutup sahur – saya suka buat kurma milkshake untuk sahur.
#Ada disebutkan dalam Al-Quran tentang kelebihan kurma untuk ibu mengandung dan menyusukan..SubhanAllah
10 [BERSAHUR]
Ibu, amalkan sahur setiap hari. Lambatkan sahur supaya makanan yang diambil semasa sahur menjadi sumber simpanan tenaga untuk meneruskan penyusuan dan puasa dengan baik pada siang hari.
Makanan yang amat sesuai untuk ibu menyusu semasa sahur adalah seperti:
– nasi
– kentang
– kurma
– roti
– pisang
– oats
– sup
Kurangkan makanan / lauk yang tinggi kandungan garam, pedas, berminyak dan berempah kerana makanan seperti menjadikan anda cepat merasa dahaga dan letih.
11 [BERTAWAKAL DAN BERSERAH KEPADA ALLAH]
Kita harus berusaha, berserah dan bertawakal kepada Allah. Berdoa dan memohon supaya dicukupkan susu ibu untuk anak dan berdoa dikurniakan rezeki kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan puasa dengan baik.
Islam agama yang mudah dan memudahkan. Jika anda mengalami situasi yang menyebabkan anda tidak dapat meneruskan puasa disebabkan komplikasi kesihatan terutamanya, Islam memberi rukhsah puasa buat ibu menyusu.
#Notakaki: Tips ini boleh diamalkan selain dari bulan puasa juga ya. Jom mula sekarang!
Selamat menempuhi ibadah puasa ibu. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan!
Cikgu Susu Anda
Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow