11 TIPS PENYUSUAN SEMASA HAMIL.
Dalam badan seorang ibu, ada 4 hormon yang mempengaruhi proses penghasilan dan pengeluaran susu. Hormon itu adalah:
- Hormon Prolaktin: hormon penghasilan susu.
- Hormon Oksitosin: hormon yang dirembes semasa pengeluaran susu, atau dikenali dengan hormon cinta.
- Hormon Estrogen dan Progesteron: bertindak sebagai ‘tentera’ yang ‘membina’ atau menggalakkan pertumbuhan kelenjar susu semasa proses kehamilan.
Semasa ibu yang masih menyusu hamil lagi, badan akan mengalami perubahan hormon. Hormon prolaktin iaitu hormon penghasilan susu akan berkurangan, untuk memberi peluang kepada hormon wanita (estrogen dan progesteron) melakukan tugasnya. Hormon estrogen dan progesteron meningkat pada kadar yang tinggi untuk menyediakan payudara dengan jentera kilang susu kepada bayi dalam kandungan, selain membantu badan ibu menerima kehadiran bayi dalam sistem tubuhnya.
Apabila hormon prolaktin menurun, penghasilan susu akan berkurang, ini adalah satu proses yang normal kerana hormon prolaktin berkadar songsang dengan hormon estrogen dan progesteron.
Hormon oksitosin pula adalah hormon yang dirembeskan semasa ada rangsangan pada puting payudara ibu. Apabila otak merembeskan oksitosin, hormon ini menghantar signal untuk mengecutkan otot di sekitar payudara ibu, menyebabkan pengeluaran susu terjadi. Oksitosin juga menghantar signal kepada tisu uterus (rahim) untuk mengecut.
Bolehkah menyusu semasa hamil?
Penyusuan bukan hanya proses memberikan susu ibu kepada anak anda, tetapi juga satu proses yang menyokong pertumbuhan emosi dan psikologi anak. Ya, ibu boleh meneruskan penyusuan seperti biasa. Sesetengah pendapat menyatakan, meneruskan penyusuan semasa hamil boleh menyebabkan kelahiran awal / pramatang. Sebenarnya tiada kajian khas mengenai hal ini. Tetapi pendapat ini mungkin ada rasionalnya. Sebab apabila ada rangsangan pada kadar tinggi pada puting payudara, ia mungkin berpotensi menyebabkan kontraksi pada uterus disebabkan kehadiran hormon oksitosin tadi.
Jadi, nasihat saya teruskan penyusuan anak anda seperti biasa, mungkin anda boleh mengelakkan pengambilan milk booster yang banyak atau melakukan teknik-teknik tertentu yang mungkin terlalu agresif atau kerap semata-mata mahu meningkatkan semula kuantiti susu.
Utamakan penyusuan bayi secara terus (direct feeding) seperti biasa dan sesi memerah seperti biasa. Penurunan kuantiti susu adalah normal untuk ibu mengandung kerana perubahan hormon yang saya ceritakan di awal artikel ini.
Bagaimana pula jika ibu mengalami sakit perut semasa menyusu dan berterusan walau selepas menyusu?
Jika anda mengalami sakit di bahagian belakang pinggang, sakit di bahagian ari-ari, atau pendarahan, seeloknya kurangkan sesi menyusu atau memerah dan pertimbangkan untuk memberhentikan penyusuan secara perlahan-lahan kerana simptom-simptom ini mungkin tanda-tanda berlaku kontraksi pada uterus yang mungkin boleh menyebabkan kelahiran pramatang.
Jika tiada simptom-simptom tersebut, teruskan menyusu seperti biasa. Dehidrasi (kekurangan air) juga boleh menyebabkan kontraksi. Jadi, minum air yang mencukupi dan pastikan anda mengamalkan pemakanan sihat supaya sentiasa bertenaga.
Saya menyarankan anda melihat semula sejarah kehamilan yang lepas, jika pernah mengalami perkara di bawah, monitor penyusuan semasa hamil kali ini. Jika mengalami simptom kontraksi seperti yang disebut dalam perenggan sebelum ini, pertimbangkan untuk mengurangkan atau menghentikan penyusuan semasa hamil:
1. Anda pernah mengalami keguguran.
2. Anda pernah mengalami pendarahan semasa kehamilan lalu.
3. Anda pernah mengalami pendarahan (tumpah darah) selepas bersalin.
4. Anda sedang hamil bayi kembar.
Perkara 1-3: mungkin menunjukkan yang ibu mempunyai rahim yang agak sensitif.
Perkara ke-4: dikhuatiri boleh merisikokan kandungan jika masih meneruskan penyusuan semasa hamil (walaupun sudah mengalami sakit di bahagian belakang pinggang, sakit di bahagian ari-ari, atau pendarahan).
11 Tips penyusuan semasa hamil
1. Sebagai seorang ibu, apa sahaja perbuatan dan niat anda mesti diserahkan sepenuhnya kepada Allah Maha Pencipta. Niatkan secara spesifik untuk dicukupkan susu dan diberikan kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan penyusuan dan kehamilan dengan baik.
2. Dapatkan nasihat dan pengesahan doktor mengenai tahap kesihatan anda dan bayi dalam kandungan sebelum meneruskan penyusuan semasa hamil.
3. Mempertimbangkan sejarah kehamilan yang lepas sebelum membuat keputusan meneruskan penyusuan semasa hamil.
4. Bagi ibu hamil yang mengalami mual atau morning sickness, amalkan memakan biskut atau snack ringan bagi menghilangkan rasa loya semasa sedang menyusu.
5. Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang sihat untuk menyokong tubuh anda, ingat anda sedang menyediakan makanan untuk si abang/kakak yang masih menyusu, DAN juga bayi di dalam kandungan. Mesti sihat dan bertenaga ya ibu!
6. Bersedia untuk menghadapi masalah luka puting. Kerana semasa kehamilan, perubahan hormon dalam badan boleh menyebabkan kawasan areola dan puting menjadi sensitif, sesetengah ibu mengalami luka di bahagian ini! Jadi, jika anda mengalami masalah ini, anda boleh meneruskan penyusuan tetapi dalam tempoh yang singkat untuk satu-satu sesi.
7. Sebagai persediaan mengalami susu merudum (normal semasa hamil kerana perubahan hormon), tambahkan pemberian makanan pelengkap dan minuman kepada anak anda untuk menyokong keperluan kalori dan nutrisi yang digunakan untuk pertumbuhan badannya, terutamanya jika anak anda sudah berusia lebih dari satu tahun.
8. Apabila kandungan makin membesar, pasti anda kurang selesa semasa menyusu, cuba dan variasikan posisi semasa menyusu supaya anda dan anak anda dapat menyusu dengan selesa. Posisi menyusu sambil berbaring (mengiring) selalunya lebih selesa.
9. Minum air yang banyak untuk memastikan badan cukup air (hydrated). Kekurangan air boleh menyebabkan anda pening dan mengalami kontraksi.
10. Mendapat kolostrum semaksimum mungkin sangat penting bagi bayi yang baru lahir. Tumpukan penyusuan kepada bayi yang baru lahir selepas bersalin supaya bayi ini mendapat kelebihan kolostrum yang diperlukan badannya.
11. Berkenalan dengan ibu yang pernah menyusu semasa hamil atau ibu yang menyusukan 2 anak serentak. Bertukar-tukar pendapat dan pengalaman sangat membantu dan menyokong anda sepanjang kehamilan.
Selamat Menyusu Ibu!
Rujukan:
www.kellymom.com
Sertai Seminar PRAKTIKAL Mudahnya Menyusu cikgu kalau betul-betul nak berjaya menyusu. Seminar seterusnya di:
07 Jun – Kelana Jaya
13 Jun – Kuching, Sarawak
14 Jun – Kota Kinabalu, Sabah
Daftar di sini: mudahnyamenyusu.gr8.com
Salam Cinta Susu Ibu,
Cikgu Susu Anda
www.cikgususu.com
Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow