IBU SUSUAN NABI MUSA A.S.

Cerita yang sentiasa buat saya tersentuh hati dan terus bermotivasi untuk meneruskan penyusuan Khalifah kecil kami.

Sesungguhnya cabaran yang dihadapi Bonda Nabi Musa lebih besar jika dibandingkan dengan cabaran kita hari ini. Namun kerana perintah Allah dan percaya dengan janji Allah, Bonda Musa berjaya menyusui  Musa sendiri akhirnya.

Nabi Musa A.S.
Beliau si comel kesayangan Bondanya
Lahir tatkala diperintahkan semua bayi lelaki dibunuh oleh Firaun
Getar hati bonda Musa,
Berjayakah bayinya itu hidup?
Apakah takdir si kecil itu?
Tetapi kerana cinta Bonda Musa kepada Allah yang paling utama, perintah Allah didahului:


Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.
(Al-Qasas 28:7)


Maka dihanyutkan Musa di dalam peti setelah disusuinya,
Musa dalam keadaan senang dan kenyang,
Debar sungguh dalam hati Bonda Musa,
Tawakal sesungguhnya kepada Allah,
Yakin dengan janji Allah yang Satu.

Takdir Allah membawa hanyutan Musa ke istana Firaun,
Wajah Musa menawan hati Asiyah, permaisuri hati Firaun,
Yang ketika itu belum dikurnia cahaya mata,
Firaun tewas dengan pujuk rayu isterinya Asiyah,
Lalu dibela Musa seperti anak sendiri.


Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.
(Al-Qasas 28:8)

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) penyejuk mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).
(Al-Qasas 28:9)


Bonda Musa merasai kehilangan Musa,
Hatinya merasa kosong,
Hampir sahaja dia membongkarkan rahsianya,
Kuasa Allah, kekuatan hati dikurniakan buat Bonda Musa,
Supaya tidak terus bersedih,
Dan terus percaya dengan janji Allah.


Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).
(Al-Qasas 28:10)


Perintah Bonda Musa kepada kakak Musa,
Intiplah si adik untuk dikhabarkan kepada Bonda Musa,
Supaya lega hatinya.


Dan berkatalah ia kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya”. (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.
(Al-Qasas 28:11)


Apabila Musa mula menangis kerana lapar,
Resah gelisah lah Firaun dan Asiyah,
Diperintahkan Firaun untuk dicarikan ibu susuan bagi Musa si penyejuk mata Asiyah dan Firaun itu.

Seorang demi seorang ibu datang,
Mencuba nasib memijakkan kaki ke istana Firaun,
Namun semuanya ditolak Musa,
Atas kehendak Allah sendiri.


Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: “Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”
(Al-Qasas 28:12)


Diketahui oleh kakak Musa, dikhabarkan kepada orang-orang Firaun dan Asiyah,
Untuk dikenalkan kepada mereka, seseorang yang baik hati dan akhlaknya,
Yang pasti menjaga Musa dengan sungguh sayang,
Namun tidak diceritakan wanita itu adalah bondanya sendiri,
Sampailah perkhabaran ini kepada Bonda Musa,
Terus mendatangi Musa di istana,
Takdir Allah membawa Musa kepada Bondanya,
Agar tenang dan gembira bersama Bondanya,
Jadilah dia ibu susuan Musa.


Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).
(Al-Qasas 28:13)


Ya
Ibu susuan Nabi Musa A.S. adalah ibu kandung beliau sendiri,
Benar cantik aturan Allah sebaik-baik Pengatur,
Musa membesar menjadi seorang yang kuat lagi bijaksana,
Di sisi Bondanya, dengan susu Bondanya.


Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
(Al-Qasas 28:14)

.

Sedarilah ibu-ibu, Allah Maha Pemberi Rezeki, Pengasih dan Penyayang,
Setiap yang diatur pasti ada hikmah disebaliknya
Jadikan Bonda Musa sebagai inspirasi,
Supaya tidak mengalah mahupun berserah,
Tunaikan hak anak kita.


Rakan Laktasi Anda,
PumpOnTheGo.

Ibu Susuan Nabi Musa

 

*Gambar hanya untuk hiasan

 

Leave a Reply