INDUCED LACTATION ( CETUSAN PENYUSUAN SUSU IBU )

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Baru-baru ini, saya banyak mendapat kes penyusuan anak angkat (induced lactation) dan kes penyusuan semula (relactation – akan dibincangkan dalam post seterusnya). SubhanAllah, ibu-ibu ini sungguh kuat pada hemat saya. Penuh semangat, memohon bantuan kerana yakin kepada diri dan perintah Allah.


Soalan Ibu:

Cikgu, saya ada ambil anak angkat. Sekarang sudah berusia 2 bulan setengah. Saya baru nak mencuba menyusukannya tapi susu ibu tiada.

Adakah berjaya untuk saya hasilkan susu ibu untuk bayi saya? Jika ya bagaimana caranya?


Jawapan Cikgu Susu:

Tahukah anda, ciptaan badan seorang wanita sangatlah unik. Bahagian payudara wanita boleh menghasilkan susu walaupun tidak pernah hamil atau bersalin. MashaAllah, hebat ciptaan Allah.

Penyusuan anak angkat boleh dan tidak mustahil dilakukan, dengan syarat minda, niat dan tindakan ibu selari mengikut cara. Ibu perlu terus kuat dan tekad sehingga proses ini selesai dan susu mula dihasilkan dengan optimum. Proses cetusan penyusuan susu ibu untuk anak angkat dipanggil Induced Lactation.

Proses ini harus dilakukan seawal mungkin jika boleh sebelum bayi dilahirkan lagi supaya ibu dapat menyediakan fisiologi dan hormon dalam badan sama seperti ibu yang baru sahaja melahirkan anak.

Jika ibu tidak sempat membuat persediaan sebelum bayi lahir, usah khuatir. Ibu masih berpeluang menyusukan anak angkat selepas kelahiran.

Jika bayi sudah lahir atau berusia lebih dari 1 bulan:

1. Dapatkan preskripsi dari doktor untuk ubat tertentu yang membantu mempercepatkan penghasilan susu seperti Domperidone. Aturan dan dos pengambilan hendaklah atas nasihat dari doktor.

2. Mula mengepam sekerap setiap 2 jam. Buat permulaan, 1 sesi mengepam hanya 10 hingga 15 minit sahaja sehingga susu mula keluar. Berikan diri ibu masa dalam 2 hingga 3 minggu untuk menghasilkan susu. Gunakan double electric breast pump untuk rangsangan yang setara untuk kedua-dua belah payudara.

3. Ibu lebih digalakkan untuk terus mula menyusukan bayi dari payudara ibu walaupun susu masih belum keluar. Pastikan bayi dapat melekap dengan betul. Ini kerana hisapan bayi lebih efektif dalam merangsang penghasilan susu ibu.

3. Gunakan Supplemental Nursing System untuk membantu merangsang penghasilan susu semasa bayi menyusu terus dari payudara ibu. Dengan cara ini, bayi masih boleh mendapat susu dari tiub pada masa yang sama hisapan bayi merangsang kelenjar susu bekerja untuk hasilkan susu.

4. Susukan bayi di kedua-dua belah payudara ibu. Lakukan pemampatan payudara (breast compression) untuk membantu melancarkan aliran susu.

5. Elakkan penggunaan botol susu dan puting kosong (pacifier) sehingga bayi dapat menyusu dengan betul dan penghasilan susu ibu pada tahap optimum (cukup untuk bayi).

Bagi bayi yang berumur 6 bulan dan ke atas, jika bayi mengalami kesukaran untuk menyusu terus dari payudara ibu, lakukan seperti di bawah untuk merangsang bayi menyusu dari payudara:

1. Elakkan pemberian susu melalui botol susu. Bayi sudah boleh minum dari cawan (open cup). Elakkan juga penggunaan puting kosong.

2. Kerapkan melakukan sentuhan kulit-ke-kulit (skin-to-skin) bersama bayi. Ini termasuklah tidur dan mandi bersama bayi. Bayi dalam lampin sahaja dan ibu tidak memakai baju, bayi di dalam pelukan ibu. Teknik ini membantu menjadikan bayi lebih selesa dan menerima penyusuan dari payudara.

3. Elakkan memaksa bayi untuk menyusu dari payudara. Beri bayi masa untuk belajar menyusu dan menerima penyusuan terus dari ibu secara perlahan-lahan.

medela sns

 

Tips tambahan untuk ibu angkat sebagai persediaan penghasilan susu:

1. Mula amalkan pemakanan sihat dan seimbang. Pastikan pengambilan karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan yang cukup setiap hari. Elakkan mengikuti diet yang terlalu ringkas dan tidak sihat.

2. Amalkan pengambilan air suam sekurang-kurangnya 3.5 liter sehari. Elakkan pengambilan kopi, teh dan air bergas yang mengandungi kandungan kafein yang tinggi.

3. Amalkan makanan penggalak susu yang boleh merangsang kelenjar susu dan menambah penghasilan susu ibu seperti kurma, habbatussauda, susu, oat dan sebagainya.

Di samping usaha yang berterusan, teruskan berdoa memohon rezeki dari Allah untuk menyusukan anak dengan lebih mudah dan mohonlah dari Allah untuk dikuatkan hati dan diri. InshaAllah semuanya atas izin Allah.

Cikgu doakan ibu-ibu ini berjaya menyusukan anak mereka selama yang boleh. Amin ya Rabbal alamin.


Zuain Ghani, Cikgu Susu Anda

www.cikgususu.com

 

Rujukan:

1. Induced Lactation; Dr. Jack Newman’s Guide to Breastfeeding.

 

 

 

Leave a Reply