TIPS TAMBAH SUSU: BERURUT SELEPAS BERSALIN

Assalamualaikum dan hai mommies,

Ada mommies yang bertanyakan cikgu, 

“Bilakah waktu yang sesuai untuk mula berurut selepas bersalin? Dah mula rasa badan sakit-sakit, jadi tak larat nak menyusu. Rasa penat.”

Ibu, proses kehamilan telah menyebabkan tubuh badan anda mengalami perubahan secara fizikal dan emosi.  Mengah, senak perut, bengkak kaki, susah nak berjalan dan macam-macam lagi pengalaman yang dialami ibu semasa hamil. Ia menuntut kesabaran yang tinggi dalam diri seorang ibu kerana kita melalui 1001 kesakitan dan ketidakselesaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Semasa proses kelahiran pula anda menggunakan banyak tenaga kerana melayan sakit kontraksi untuk melahirkan si khalifah kecil anda. Jadi adalah sangat penting untuk anda mendapatkan rehat yang mencukupi supaya badan kembali pulih setelah bersalin. Jadi rasa penat selepas bersalin itu normal dan dirasai kebanyakan ibu selepas bersalin. Tapi rasa penat harus diatasi supaya proses penyusuan berjalan lancar.

Antara amalan yang sangat digalakkan ibu selepas bersalin adalah berurut. Urutan selepas bersalin membantu melancarkan pengaliran darah dan secara tak langsung oksigen dapat disalurkan ke seluruh bahagian badan dengan lebih baik. Selain itu, berurut dapat kembalikan semula kesegaran tubuh badan ibu selepas melalui 40 minggu tempoh kehamilan. Yang bagusnya, apabila anda mula berurut selepas bersalin, pengeluaran susu ibu juga menjadi makin lancar, asbab kepada pengaliran darah yang sempurna.

Menurut pendapat ramai bidan yang berpengalaman urutan badan boleh dimulakan 1 minggu selepas bersalin bagi memulihkan tenaga dan menjaga kesihatan dalaman ibu. Menurut Kak Engku dalam bukunya Manual Kehamilan, amalan berurut seeloknya dilakukan selama 3 hari berturut-turut bagi mengembalikan semula kelancaran aliran darah secara optimum. Kini, amalan berurut bukan sahaja diamalkan di Asia, bahkan juga di negara Barat kerana mereka sudah mula melihat kebaikan urutan selepas bersalin.

Selain di bahagian badan, urutan di tapak kaki dipercayai membantu memulihkan bahagian rahim ibu.

Pengalaman cikgu bersalin anak sulung, saya mula berurut seawal 5 hari selepas bersalin kerana mengalami masalah bengkak susu yang agak teruk. Selain urutan badan, bidan tersebut melakukan urutan di bahagian belakang dan payudara untuk melancarkan aliran susu.  Urutan seluruh badan dilakukan beserta sengkak pada bahagian rahim dan bertungku. MashaAllah, rasa lega sangat bila bidan mula mengurut. Urat-urat yang selama ni tegang dan terputus jadi lembut dan bersambung semula. Nifas keluar dengan lebih lancar dan luka bersalin juga sembuh dengan lebih cepat. Alhamdulillah dengan izin Allah, badan bertambah kuat dan pengeluaran susu semakin lancar sejak dari itu.

Berat badan pun mudah turun, lemak-lemak tak baik yang terkumpul semasa hamil dipecahkan semasa berurut. Berurut dapat bantu badan kembali ke bentuk asal dengan lebih express.

Bagi anak kedua pula, kelahiran secara pembedahan menyebabkan urutan tidak dilakukan di bahagian perut kerana luka pembedahan yang masih belum sembuh sepenuhnya. Namun, urutan masih dilakukan pada bahagian lain untuk mengelakkan masalah aliran darah tidak lancar. Bertungku juga dilakukan pada seluruh badan kecuali perut. Hai, lega tau dapat berurut semasa berpantang. Siap breast leaking masa sedang diurut dan bidan panggil baby suruh disusukan. 

Disebabkan urutan tidak dilakukan di perut dalam tempoh berpantang, saya masih mendapatkan khidmat mak bidan untuk melakukan urutan pada bahagian rahim setelah 6 bulan bersalin secara pembedahan. Ia membantu menaikkan semula rahim ke kedudukan asal.

Urutan pada bahagian belakang badan dan di bawah ketiak sangat membantu kelancaran susu ibu. Pernah tak mommies yang alami bengkak susu rasa sangat sakit di bahagian bawah ketiak? Urutan dan tuaman panas pada belakang badan mampu meredakan bengkak dan meningkatkan aliran susu semula.

Kepada semua ibu menyusu, saya amat galakkan anda mengamalkan urutan badan bukan sahaja selepas bersalin malah jika boleh 1 bulan sekali untuk sentiasa memastikan aliran darah lancar dan badan merasa segar. Apabila badan dalam keadaan sihat, anda dapat mengelakkan masalah penat kerana menyusu. Terutamanya dalam tempoh berpantang dan setelah kembali bekerja. 

Walaupun ada yang berpendapat ianya tidak penting terutamanya dalam dunia yang serba moden ini dan pergantungan kepada ubat-ubatan yang mudah didapati, amalan yang nampak konservatif ini memberikan banyak kebaikan kepada kesihatan dan kesegaran tubuh badan wanita terutamanya ibu. Kerana kita dilahirkan ke dunia dengan tugas mendidik khalifah di bumi, penjagaan rapi harus bermula dari kita dulu.

Badan sihat dan segar, menyusu pun happy!!

Jangan lupa daftar kelas cikgu. Bermula September ini, cikgu memulakan penjelajahan ke bahagian Utara Semenanjung dulu. Mommies di Utara, mai kita jumpa!!

Daftar Seminar Praktikal Mudahnya Menyusu: www.mudahnyamenyusu.gr8.com
 
 
 
 
 
 
 
Cikgu Susu Anda
 
 


 
 
Nak beli breast pump murah? Klik di link ini: www.pumponthego.com/shopnow

Leave a Reply