PAYUDARA LEMBUT TIDAK BERERTI TIADA SUSU
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
SOALAN IBU:
Puan Ain, saya rasa saya ada masalah kurang susu. Saya ada bengkak susu semasa dalam berpantang sahaja, lepas itu dah tak ada. Baby menyusu dengan baik, berat baby ada naik, cuma payudara dah tak rasa bengkak susu. Adakah normal cikgu atau susu saya dah berkurang?
JAWAPAN CIKGU SUSU:
Bengkak susu (Engorgement) pada awal kelahiran bayi sebenarnya terjadi disebabkan EDEMA iaitu pembengkakan yang disebabkan oleh pengumpulan cecair lebihan dalam jaringan badan. Lebihan cecair ini pula lazimnya kerana kemasukan air semasa proses bersalin dan selepas bersalin.
Tahukah ibu, bengkak susu sebenarnya tidak selalu membawa petanda yang baik untuk ibu. Bengkak susu adalah satu signal yang dihantar oleh badan kita untuk memberitahu yang susu tidak dikeluarkan dengan efektif dari payudara dan tidak dikeluarkan pada waktu yang sepatutnya.
Bengkak susu boleh menyebabkan ibu merasa sakit dan tidak selesa pada bahagian payudara. Bengkak susu yang tidak dirawat pula boleh membawa kepada jangkitan atau mastitis.
Punca berlaku bengkak susu:
1. Lambat memulakan penyusuan kali pertama. (Late on set on breastfeeding)
Lambat memulakan penyusuan selepas bersalin boleh menyebabkan cecair dalam badan terkumpul di kawasan payudara, sekaligus menyebabkan kesukaran kepada bayi untuk menyusu apabila keadaan payudara membengkak.
2. Lekapan yang tidak betul. (Poor latch)
Lekapan yang tidak betul akan menyebabkan susu tidak dapat dikeluarkan dengan efektif dari payudara. Ini juga menjadi penyebab kepada masalah luka pada payudara dan bayi tidak cukup susu.
3. Penyusuan yang tidak kerap. (Inadequate feeding).
Penyusuan yang tidak kerap menyebabkan payudara tidak dikosongkan pada waktu yang sesuai dan susu ibu tidak keluar dengan lancar.
4. Penyusuan berjadual. (Scheduled feeding).
Penyusuan berjadual boleh menyebabkan bengkak susu dimana bayi menyusu mengikut jam yang ditetapkan, iaitu pada waktu-waktu tertentu. Sebetulnya, bayi perlu menyusu mengikut signal-signal yang diberikan oleh bayi sendiri, seperti apabila tidur bayi mula terganggu, bayi mula mengecap-ngecap dan menghisap bibir/jari. Menangis adalah tanda paling akhir.
5. Menetapkan masa menyusu di setiap belah payudara. (5 or 10 minutes rules on each breast).
Bayi sepatutnya menyusu di sebelah payudara sahaja sehingga dia melepaskan sendiri payudara itu. Selepas itu, barulah ibu susukan bayi di sebelah payudara lagi. Kerap menukar payudara semasa menyusu menyebabkan susu tidak dapat dikeluarkan dengan efektif dari setiap belah payudara. Ini berpotensi menyebabkan masalah bengkak susu.
Payudara yang lembut tidak bermaksud tiada/sedikit susu sahaja dihasilkan.
Ramai ibu yang tidak mengalami bengkak susu semasa berpantang dan masih mampu menghasilkan susu yang cukup untuk bayinya sepanjang tempoh penyusuan.
Ini kerana, payudara tidak akan lagi mengalami bengkak susu kerana badan kita sudah terbiasa dengan kuantiti susu yang dihasilkan setiap hari. Jika susu dikeluarkan dengan betul, dan pada waktu yang tepat, badan kita tidak akan lagi menghasilkan signal bengkak susu. Walaupun tak ada bengkak susu, bukan bermaksud susu berkurang ya mommies.
Dalam banyak kes konsultansi dengan saya, ibu berjumpa saya kerana menganggap tidak cukup susu sebab dah tak rasa bengkak susu. Jadi kita bereksperimen dengan bayi dan pam susu (2 benda penting yang saya mahu ibu bawa jika mahu konsultansi secara personal dengan saya).
Saya ajar ibu cara menggunakan pam susu yang betul dan marmet selepas memerah. MashaAllah masih ada susu yang keluar memancut dengan lancar ya.
Selepas itu, saya minta ibu susukan baby. Melalui hisapan bayi dapat dilihat bayi masih mendapat susu (walaupun ibu baru saja selesai memerah dan breast rasa lembut sahaja), Teknik breast compression dilakukan semasa baby menyusu untuk membantu aliran susu lebih laju.
Jadi, ianya normal kalau anda sudah tak mengalami bengkak susu. Mesti ingat dan tanam dalam hati, selagi ada rangsangan dari hisapan bayi dan sesi memerah yang kerap sewaktu bekerja, ibu akan terus dapat menghasilkan susu yang cukup untuk bayi.
Teruskan menyusukan si comel seperti biasa. Pastikan ibu mengamalkan pemakanan yang sihat dan minum air secukupnya.
Bagi si kecil ibu, monitor output bayi (warna urin dan struktur najis), tahap kesihatan dan juga peningkatan berat badan bayi setiap bulan untuk memastikan bayi mendapat susu yang cukup.
Cikgu Susu Anda
Blog Cikgu Susu
Rujukan:
1. Sore Breasts, Sore Nipples; Dr. Jack Newman’s Guide to Breastfeeding.
Senarai breast pump berkualiti? Klik di link ini: PumpOnTheGo